Sakit ketika datang haid atau senggugut adalah satu masalah yang biasa dialami oleh banyak wanita dan lazimnya dialami oleh gadis yang baru meningkat remaja. Untuk anak remaja keadaan ini digelar ‘ primary spasmodic dysmenorrhea’ dan tidak semestinya menandakan sesuatu penyakit. Di dalam beberapa tahun pertama selepas akil baliq, pusingan haid seseorang gadis masih belum teratur lagi. Haid mungkin akan datang tiga atau empat bulan sekali. Senggugut biasanya mula dirasai 2-3 tahun kemudian.
Rasa sakit sewaktu datang haid ini adalah disebabkan oleh kuncupan rahim yang begitu kuat sekali untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur sedikit tisu daripada selaput endometrium . Darah haid ini perlu keluar menerusi saluran pangkal rahim yang biasanya masih sempit di kalangan gadis remaja.Kuncupan rahim yang kuat ini adalah disebabkan oleh sejenis hormon yang digelar dengan nama “Prostaglandin”. Kesakitan ini berbeza di antara seorang wanita dengan yang lain. Ada yang mungkin rasa sakitnya ringan sementara yang lainnya akan mengalami sakit yang teruk. Jangka waktu sakit juga berbeza, ada yang mengalami sehari, ada pula yang mengalaminya setiap kali datang haid.
Ramai di kalangan wanita yang risau samada senggugut boleh menyebabkan kemandulan. Ini tidak benar dan senggugut biasanya akan hilang setelah gadis berumahtangga dan mendapat anak. Kehamilan dan kelahiran dapat mengatasi masalah kesempitan pada saluran rahim yang menjadi punca pada senggugut. Walau demikian sebahagian kecil dari mereka akan menghadapi masalah ketidaksuburan dan mudah gugur kandungan jika senggugut itu berterusan selepas kahwin. Mereka ini mungkin mengidap penyakit ‘endometriosis’.Ini menyebabkan sakit seperti sengugut tetapi apa yang menyebabkan ia terjadi tidaklah sama seperti sebab sakit senggugut yang biasa.
Gadis-gadis yang mengalami senggugut boleh mengambil ubat penawar sakit/analgesic seperti Panadol, Aspirin, Ponstan, Synflex dan lain lain. Tetapi dalam kes-kes yang lebih teruk, doktor akan memberi ubat penawar sakit yang mengandungi hormon ‘ 'Norethisterone’.
Senggugut jenis kedua ialah ‘congestive dysmenorrhea’ yang biasa dialami oleh wanita yang sudah berkahwin dan melahirkan anak. Lazimya senggugut yang dialami itu lebih teruk dan lebih panjang waktunya. Senggugut ini disebabkan oleh penyakit dan ketumbuhan dalam alat peranakan. Diantara penyakit ini termasuklah ketumbuhan dalam rahim seperti ‘endometriosis’, ‘adenomyosis’, ‘fibroids’ dan jangkitan kuman pada perkakas peranakan. Wanita yang mengalami masalah ini perlu bertemu doktor Pakar Sakitpuan. Kebanyakan daripada mereka menghadapi masalah kurang subur, mudah keguguran, pendarahan yang berlebihan dan berpanjangan atau senggugut yang sangat teruk.
No comments:
Post a Comment