Tuesday, 28 February 2012

OBESITI DAN PENYEBABNYA



OBESITI atau yang biasa kita kenal sebagai kegemukan merupakan suatu masalah yang cukup merisaukan di kalangan remaja. Pada remaja perempuan, kegemukan menjadi permasalahan yang cukup berat, kerana keinginan untuk tampil sempurna yang seringkali diertikan dengan memiliki tubuh ramping atau langsing dan cantik, merupakan idaman bagi mereka. 

Perkara ini semakin disemarakkan dengan berbagai-bagai iklan di televisyen, surat khabar dan media massa lain yang selalu menonjolkan watak-watak wanita yang langsing dan iklan pelbagai macam ramuan ubat-ubatan, makanan dan minuman untuk merampingkan tubuh.

Akibatnya, ribuan ringgit wang dibelanjakan untuk diet, ubat-ubatan, dan perawatan-perawatan bagi menurunkan berat badan. Tidak berbeza dengan remaja perempuan, remaja lelaki juga takut menjadi gemuk. Bagi mereka, lelaki yang gemuk berlebih dianggap akan mengalami permasalahan yang cukup berat untuk menarik perhatian lawan jenis. Ramai remaja lelaki yang berharap dapat membuatkan tubuhnya ideal (menjadi sedikit berotot atau kekar) dan keinginan mereka untuk itu pada sebahagian remaja disalurkan melalui aktiviti sukan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang gemuk, aktiviti sukan akan terasa sebagai seksaan. Hal inilah yang seringkali dimanfaatkan oleh para penjual produk-produk ubat-ubatan atau makanan penurun berat badan dan alat sukan ringan untuk memperlariskan barangan dagangan mereka. Dengan melihat fenomena yang terjadi sekarang ini, tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa obesiti merupakan salah satu masalah rumit yang seringkali dihadapi remaja dan juga termasuk orang dewasa. 

Hal ini tercermin dalam banyak dana yang dikeluarkan untuk melakukan diet, membeli ubat-ubatan pelangsing dan peralatan sukan yang bertujuan untuk menurunkan berat badan. Obesiti atau kegemukan terjadi pada ketika badan menjadi gemuk (obese) yang disebabkan oleh penumpukan adipose (adipocytes: jaringan lemak khusus yang disimpan tubuh) secara berlebihan. Jadi obesiti adalah keadaan di mana seseorang memiliki berat badan yang lebih berat dibandingkan berat idealnya yang disebabkan terjadinya penumpukan lemak di tubuhnya.

Berhadapan dengan obesiti, seringkali seseorang remaja bertindak secara berlebihan. Seringkali pula mereka menjadi kecewa kerana meskipun sudah melakukan diet yang ketat dan mengambil ramuan atau ubat-ubatan penurun berat badan, ternyata kegemukan tubuh tidak kunjung susut. Apa sebenarnya yang terjadi? Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu melihat faktor-faktor yang menjadi penyebab obesiti. 

Menurut para pakar kesihatan, didasarkan pada hasil kajian, obesiti boleh dipengaruhi oleh berbagai faktor. Faktor-faktor tersebut di antaranya adalah faktor genetik, disfungsi salah satu bahagian otak, pola makan yang berlebihan, kurang gerak sukan, emosi, dan faktor persekitaran. 

GENETIK 

Kegemukan boleh diturunkan dari generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini nampaknya faktor genetik telah ikut campur dalam menentukan jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh. 

Hal ini dimungkinkan kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, maka unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik akan diturunkan kepada si bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah bila bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang relatif sama besar. 

KEROSAKAN PADA SALAH SATU BAHAGIAN OTAK 

Sistem pengawal yang mengatur perilaku makan terletak pada suatu bahagian otak yang disebut ‘hipotalamus’, sebuah kumpulan inti sel dalam otak yang berhubungan dengan bahagian-bahagian lain dari otak dan kelenjar di bawah otak. ‘Hipotalamus’ mengandungi lebih banyak pembuluh darah dari bahagian lain di dalam otak, sehingga lebih mudah dipengaruhi oleh unsur kimia daripada darah.

Dua bahagian ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan, iaitu ‘hipotalamus lateral’ (HL) yang menggerakkan nafsu makan (awal atau pusat makan); ‘hipotalamus ventromedial’ (HVM) yang bertugas menghalang nafsu makan (pemberhentian atau pusat kenyang). 

Daripqada hasil kajian, didapati bahawa apabila ‘hipotalamus ventromedial’ rosak atau hancur, maka individu menolak untuk makan atau minum, dan akan mati kecuali apabila dipaksa diberi makan dan minum (diberi infus). Sedangkan bila kerosakan terjadi pada bahagian ‘hipotalamus ventromedial’, maka seseorang akan menjadi rakus atau gelojoh dan kegemukan. 

POLA MAKAN BERLEBIHAN

Orang yang gemuk lebih responsif dibandingkan dengan orang yang berat badannya normal terhadap isyarat lapar luaran, seperti rasa dan bau makanan, atau ketika waktu makan. Orang yang gemuk cenderung makan, apabila ia merasa ingin makan, bukan makan pada ketika ia lapar. Pola makan berlebih inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk keluar dari kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangi berat badan. 

KURANG GERAK SUKAN 

Tingkat pengeluaran tenaga tubuh sangat peka terhadap pengendalian berat tubuh. Pengeluaran tenaga bergantung kepada dua faktor, iaitu:

1) tingkat aktiviti dan sukan secara umum; 
2) angka metabolisme basal atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh. 

Daripada kedua-dua faktor tersebut, metabolisme memiliki tanggungjawab dua pertiga daripada pengeluaran tenaga orang normal. Meski aktiviti fizikal hanya mempengaruhi satu pertiga pengeluaran tenaga seseorang dengan berat normal, tetapi bagi orang yang memiliki kelebihan berat badan, aktiviti memiliki peranan yang sangat penting. Pada waktu bersukan, kalori terbakar, makin banyak bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang. 

Kalori secara tidak langsung mempengaruhi sistem metabolisme. Orang yang duduk bekerja sehari-harian akan mengalami penurunan metabolisme tubuhnya. Kekurangan aktiviti gerak akan menyebabkan suatu siklus yang hebat, obesiti membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar dan kurang dapat dinikmati dan kurangnya sukan secara tidak langsung akan mempengaruhi turunnya metabolisme tubuh orang tersebut. 

Jadi sukan sangat penting dalam penurunan berat badan tidak sahaja kerana dapat membakar kalori, melainkan juga kerana dapat membantu mengatur berfungsinya metabolis normal. 

PENGARUH EMOSIONAL

Sebuah pandangan popular adalah bahawa obesiti bermula daripada masalah emosional yang tidak dapat diatasi. Orang yang gemuk dahaga akan cinta kasih, seperti kanak-kanak yang menganggap bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu, atau kelebihan makan adalah sebagai subtitusi untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya. 

Walaupun penjelasan demikian sesuai pada beberapa kes, namun sebahagian orang yang kelebihan berat badan tidaklah lebih terganggu secara psikologi dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Meski banyak pendapat yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, namun sebenarnya ketidakbahagiaan tekanan batinnya lebih diakibatkan sebagai hasil daripada kegemukannya. 

Hal ini demikian kerana dalam suatu masyarakat seringkali tubuh kurus disamakan dengan kecantikan, sehinggakan orang gemuk cenderung berasa malu dengan penampilannya dan kesukarannya mengendalikan diri terutama dalam hal yang berhubungan dengan perilaku makan. Orang gemuk seringkali mengatakan bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka dalam keadaan ketegang atau cemas, dan eksperimen membuktikan kebenarannya. 

Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu keadaan yang sangat tertekan; orang dengan berat badan yang normal makan dalam situasi yang kurang tertekan (McKenna, 1999). Dalam suatu kajian yang dilakukan oleh White (1977) pada kumpulan orang dengan berat badan berlebihan dan kumpulan orang dengan berat badan yang berkurangan, dengan menyajikan kerepek (makanan ringan) setelah mereka menonton empat jenis filem yang mengundang emosi yang berbeza, iaitu filem yang suspens, ceria, merangsang ghairah seksual, dan sebuah ceramah yang membosankan.

Pada orang gemuk didapati bahawa mereka lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan filem yang tegang atau suspens dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan. Sedangkan pada orang dengan berat badan berkurangan, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton filem yang tegang mahupun filem yang membosankan. 

PERSEKITARAN 

Faktor lingkungan atau persekitaran ternyata juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi gemuk. Jika seseorang dibesarkan dalam lingkungan yang menganggap gemuk adalah simbol kemakmuran dan keindahan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang obesiti tidak akan mengalami masalah-masalah psikologi berkaitan dengan kegemukan. 

Jadi, bagi para remaja yang kebetulan memiliki berat badan berlebihan dan belum berjaya mengurangi berat badan, janganlah berasa kecewa. Mungkin dengan mengetahui faktor-faktor penyebab kegemukan seperti tertulis di atas anda akan menemui penyebab mengapa berat badan anda tidak kunjung susut. 

Satu hal yang paling penting untuk diingat adalah sejauh tubuh anda tidak mengidap apa-apa penyakit maka tidak ada yang salah dengan tubuh yang besar (gemuk). Perkara lain yang juga tidak kalah penting adalah cubalah untuk bersukan secara teratur dan menjaga agar emosi anda tetap terkawal.

No comments:

Post a Comment